Thursday, January 27, 2011

...KAUM HAWA...WaNiTa....





Kau digelar sebagai penyeri dunia
Hadirmu melengkap hubungan manusia
Bukan sahaja dirindui yang biasa
Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa

Akalmu senipis bilahan rambut
Tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu
Jua hatimu bak kaca yang rapuh
Kuatkanlah ia dengan iman yang teguh

Tercipta engkau dari rusuk lelaki
Bukan dari kaki untuk dialasi
Bukan dari kepala untuk dijunjung
Tapi dekat dibahu untuk dilindung
Dekat jua di hati untuk dikasihi
Engkaulah wanita hiasan duniawi

Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok
Jika datangnya dari kayu yang bengkok
Begitulah peribadi yang dibentuk

Didiklah wanita dengan keimanan
Bukannya harta ataupun pujian
Kelak tidak derita berharap pada yang binasa

Engkaulah wanita istimewa

Sedarilah insan istimewa
Bahawa kelembutan bukan kelemahan
Bukan jua penghinaan dari Tuhan
Bahkan sebagai hiasan kecantikan

Tuesday, January 25, 2011

POLIGAMI



MAKLUMAT UMUM
Allah Ta'la telah berfirman dalam Surah An Nisa': ayat 3 yang bermaksud:
" Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bila mana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja, atau budak-budak yang kamu miliki (hamba sahaya). Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya."
Islam mengharuskan poligami atas beberapa sebab:-
- Suami mempunyai dorongan nafsu syahwat yang luar biasa sehinggakan isteri tidak dapat memenuhi keinginannya.
- Keadaan isteri yang sentiasa uzur dan sakit.
- Membela kaum wanita yang menjadi balu atau janda setelah suami gugur dalam berjihad menegakkan agama Allah.
- Isteri tidak dapat melahirkan zuriat atas sebab kesihatan.

PROSEDUR PERMOHONAN POLIGAMI
 * Pemohon memfailkan aduan di Pejabat Agama Islam Daerah (Isi borang aduan).
 * Sessi kaunseling untuk perbincangan, nasihat dan mendapatkan panduan.
 * Dapatkan borang 2 B permohonan berpoligami di Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan.
 * Pemohon membuat akuan sumpah di hadapan Ketua Pendaftar / Pendaftar / Timbalan Pendaftar / Penolong Pendaftar bagi kariah masjidnya dengan membawa 2 orang saksi lelaki.
 * Mendaftarkan kes permohonan berpoligami di Mahkamah Syariah dengan melampirkan dokumen yang berkaitan.
 * Perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah (ditetapkan mengikut giliran kes permohonan).
 * Keputusan/perbicaraan - dapatkan surat kebenaran nikah (Seksyen 23).
 * Jika mendapat kelulusan, rujuk semula ke Pejabat Agama Islam Daerah. Serahkan surat kebenaran nikah (Seksyen 23) kepada pihak perempuan untuk dilampirkan dengan permohonan beliau semasa berurusan dengan Penolong Pendaftar Nikah di kariah masjid yang berkenaan.
  
DOKUMEN YANG DIPERLUKAN
 * Borang 2 B (permohonan berpoligami)
 * Salinan slip gaji akhir / akuan sumpah jumlah pendapatan.
 * Salinan kad pengenalan pemohon dan isteri yang sedia ada.
 * Salinan surat nikah dengan isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
 * Salinan surat beranak anak-anak.
 * Pengisian borang-borang Mahkamah Syariah.
 * Bayaran/fee Mahkamah.
 * Surat laporan aduan Pejabat Agama.
 * Bagi pemohon yang baru memeluk agama Islam, hendaklah mengemukakan kad perakuan memeluk Islam dan telah memperolehi kad pengenalan / kad pengenalan sementara yang mengandungi nama Islam.
 * Surat kelulusan daripada Kor Angkatan Tentera jika pemohon seorang anggota tentera.
 * Surat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia jika pemohon seorang anggota polis.
 * Salinan lain-lain dokumen berkaitan.

SOALAN YANG SERING DITANYA
 1. Mengapakah permohonan berpoligami perlu dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah?
  Permohonan berpoligami perlu dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah kerana ia telah diperuntukkan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor No. 4/1984 (pin.) 1988 di bawah Seksyen 23 (1) "Tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seorang lain dalam masa ia masih beristerikan isterinya yang sedia ada kecuali dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada Hakim Syariah, akan tetapi dan tertakluk kepada Seksyen 123, jika ia berkahwin sedemikian tanpa kebenaran tersebut maka perkahwinan itu boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini dengan perintah Mahkamah."
  Seksyen 123 menyatakan "Jika seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu dari Mahkamah maka ia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum dengan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau dengan penjara tidak lebih dari enam bulan atau dengan kedua-duanya denda dan penjara itu."
  Keputusan untuk menetapkan sama ada seseorang lelaki itu boleh berpoligami atau sebaliknya adalah di bawah bidangkuasa Hakim Syariah kerana pihak lelaki itu perlu membuktikan bahawa beliau mempunyai kelayakan mengikut hukum syarak.
 

2. Adakah seorang lelaki yang ingin berpoligami perlu mendapatkan kebenaran daripada isteri yang sedia ada?
  Kebenaran untuk berpoligami daripada isteri yang sedia ada bukan merupakan satu syarat yang utama dalam meluluskan permohonan seseorang lelaki untuk berpoligami. Walaubagaimanapun, berdasarkan peruntukan dalam Seksyen 23 (3) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor No. 4/1984 (pin.) 1988, pihak suami perlu menyatakan sama ada beliau telah mendapat keizinan daripada isteri yang sedia ada atau sebaliknya untuk berpoligami.


** kesimpulannya kebanyakkan golongan perempuan tidak gemar berpoligami atau pun lebih  mudah dikatakan "ANTI-POLIGAMI"

Sabar dan Hikmah Dalam Berdakwah




“Sheikh Rayyan, apa cerita menarik awak di Dagistan?”, saya bertanya.
Rayyan tersenyum. Beliau baru sahaja pulang ke Jordan selepas lama menetap di sana. Bekerja sebagai guru di sebuah sekolah agama di negara bekas jajahan Soviet itu.
“Oh, banyak cerita menarik. Tapi ada peristiwa yang saya nak kongsi dengan kamu. Tentang bid’ah membid’ah ni”, kata Rayyan.
“Hah, kat Dagistan pun ada masalah ini ke?”, saya sedikit terkejut.
“Ramai syabab Arab yang ikhlas datang berdakwah. Mereka memang bersungguh-sungguh. Tapi dakwah tanpa hikmah, lebih merosakkan dari memperelokkan”, sambung Rayyan.
“Betul. Orang Malaysia kata, seperti tikus membaiki labu”, saya tersenyum.
“Tikus memang makan labu. Maksud awak, pendakwah jadikan dakwah mereka sebagai profesyen ke?”, tanya Rayyan.
“Eh, tak terfikir pula saya. Itu isu lain. Maksud seperti tikus membaiki labu ialah, usaha nak memperbaiki tu lebih merosakkan berbanding mengelokkan”, saya cuba menjelaskan.
“Oh, begitu”, kata Rayyan sambil ketawa.
Rayyan menceritakan kepada saya bagaimana di Dagistan, ada satu adat yang pelik. Apabila mereka dengar nama Rasulullah disebut, mereka akan berdiri.
Ketawa saya dibuatnya. Ia mengingatkan saya kepada adat orang Turki di Istanbul semasa melawat maqam Abu Ayyub al-Ansari. Kerana terlalu memuliakan sahabat Nabi itu, ramai yang keluar dari maqam itu secara jalan berundur. Terasa biadab menunjuk belakang kepada Abu Ayyub al-Ansari!
Begitu jugalah agaknya dengan orang Dagistan. Kerana begitu memuliakan Rasulullah SAW, mereka sampai berdiri apabila nama baginda disebut.
HORMAT
Dalam hal inilah, pendakwah mesti berhati-hati. Apa yang mahu diperbetulkan ialah cara menunjuk hormat. Jika tidak kena cara, rasa hormat itu pula yang terhapus. Hal inilah yang sering dilupakan oleh pemuda yang bersemangat tinggi terhadap dakwah. Saya berkongsi kesedihan apabila rakan-rakan dari negara bekas jajahan Soviet, sering mengadu tentang gelagat pendakwah sukarelawan Arab yang mencetuskan rasa gelisah di dalam masyarakat, khususnya dalam bab mencela Tasawuf dan Tareqat Sufi.
Selama duduk di bawah jajahan kuasa Soviet, negara-negara Asia Tengah dan Balkan memang hidup dalam penderitaan. Usahkan mahu membentuk usaha agama, menggunakan nama Islam pun tidak dibenarkan. Islam secara khusus, bersama agama-agama yang lain, ditekan sehabis-habisnya. Pada masa inilah amalan Tareqat berperanan mengekalkan elemen Islam dalam tempoh hampir seabad tanah ini tanpa kebebasan beragama. Tentu sahaja banyak kesilapan dan kesalahan dalam amalan tersebut, tetapi untuk ‘orang luar’ datang berdakwah mencela dan memaki hamun amalan Tareqat, ia mencetuskan kacau bilau di dalam masyarakat.
Antara negara yang banyak mengalami ketegangan ini ialah Bulgaria, Chechnya, Dagistan dan beberapa kawasan lain.
“Apa yang anta buat Sheikh Rayyan?”, saya menyambung bual.
“Semasa awal-awal saya bersama dengan penduduk di tempat tinggal saya itu, tentu sahaja saya berdiri bersama mereka.”, kata Rayyan.
“Selepas beberapa ketika, saya beritahu mereka, alangkah baiknya kalau sambil berdiri kita berselawat”, sambung Rayyan.
“Meriahlah ceramah anta ya. Sebut sahaja Rasulullah, semua bangun dan berselawat”, saya terasa lucu dengan pendekatan dakwah Rayyan.
“Ya, sehingga saya terpaksa mengurangkan sebutan nama Muhammad, untuk melancarkan kuliah”, kata Rayyan yang turut ketawa bersama saya.
“Lama-lama, apabila mereka sudah biasa dengan amalan selawat, barulah saya yakinkan mereka bahawa untuk berselawat, sambil duduk pun boleh. Akhirnya tertegaklah satu Sunnah, dan terhapuslah satu Bid’ah”, Rayyan menghabiskan ceritanya.
Kisah Rayyan yang dikongsinya bersama saya ketika kami sama-sama belajar di Jordan dahulu, sering saya kenang. Ia suatu contoh mudah, betapa besarnya peranan sabar dan hikmah dalam usaha memperbaiki dan memperbetulkan amalan manusia.
Pendekatan yang sama, cuba saya gunakan dalam menangani banyak kesulitan beragama di hari ini.
kematian.JPG

Semasa jemaah di masjid bersoal jawab tentang hukum kenduri arwah, saya cuba mengingatkan semua, bahawa Sunnah jiran memasak untuk keluarga si mati sebagaimana yang diterangkan di dalam hadith syahidnya Jaafar bin Abi Thalib, tidak mungkin dapat dilaksanakan jika jiran dengan jiran masih tidak kenal dan tidak bertegur sapa di dalam sebuah kampung.
Maka usaha untuk mengurangkan amalan kenduri arwah di dalam masyarakat, mestilah seiring dengan usaha menggalakkan semangat kejiranan. Jika penduduk sebuah kampung, sayang menyayangi seperti ukhuwwah para Sahabat, tidak perlu menunggu hari kematian untuk berbuat baik.. malah masak memasak dan berkongsi makanan menjadi kebiasaan, sebelum datang hukum dan tuntutan.
Dan seorang pendakwah tidak mungkin dapat menyemai sifat kasih sayang sesama jemaah di masjidnya, jika dia sendiri tidak menyayangi justeru tidak disayangi.